Anak-anak umpama pohon yang ditanam. Jika kita bersungguh-sungguh menyuburkannya dan memeliharanya dari segala kerosakan, maka eloklah hasilnya dengan izin Allah. Manakala jika kita kerap mengabaikannya dengan tidak membaja tarbiahnya atau menyiram motivasinya dengan baik, maka kebiasaannya ia akan layu dan rosak.
Pada peringkat kanak-kanak sehingga awal remaja adalah fasa terbaik untuk mendidik sahsiah dan akhlak melebihi penumpuan terhadap akademik. Pembangunan karakter, jati diri, cinta ilmu dan persahabatan antara yang perlu diberikan perhatian pada fasa ini. Anak-anak ketika ini umpama tepung yang lembut untuk diuli dan dibentuk.Pada peringkat ini juga, kita masih belum mampu melihat buahnya, kerana ini merupakan fasa pucuk yang baru bertunas.
Jangan tergesa-gesa untuk mengejar kecemerlangan akademik sebelum elemen jati diri benar-benar berakar dalam diri. Kecemerlangan akademik belum tentu menghasilkan generasi yang berakhlak dan berintegriti.
Kebijaksanaan tanpa akhlak hanya mendatangkan kerosakan kepada agama dan masyarakat.Biarkan mereka tumbuh dengan riang dalam suasana yang soleh.Biarkan mereka bahagia berdamping mesra dengan sang guru. Biarkan mereka belajar mencintai ilmu dan persekolahan
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو يُنَصِّرَانِهِ أو يُمَجِّسَانِهِ.
"Tiada seorang pun yang lahir kecuali dia dilahirkan dalam keadaan suci (fitrahnya). Maka ibu bapanyalah yang mencorakkannya (sama ada) menjadikannya Yahudi, atau menjadikannya Kristian, atau menjadikannya Majusi"
[hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].